KEPENTINGAN BLOG
KEPENTINGAN BLOG UNTUK MEMPERTINGKATKAN MINAT MURID BELAJAR
PENGENALAN
Pendidikan abad ke-21 merupakan salah satu agenda perdana Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang akan melibatkan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) secara meluas dan agresif. Dalam persekitaran dunia hari ini, anak-anak dan generasi kita didedah secara langsung dengan persekitaran global dengan kehadiran internet yang menjadikan dunia ini tanpa sempadan. Hari ini, generasi kita sangat sinonim dengan kehadiran media baru terutamanya ‘blog’. Guru juga turut didedahkan dengan penggunaan media baru ini iaitu ‘blog’ untuk diintegrasikan dalam pengajaran dan pengajaran. Ini bertujuan untuk memantapkan kemahiran guru dalam menjadikan media baru sebagai satu alat untuk menarik minat murid, berkesan dan mesra generasi dalam pengajaran dan pembelajaran seterusnya berada pada landasan betul dalam menjayakan persekitaran pembelajaran maya.
APA ITU BLOG?
Blog adalah singkatan daripada perkataan ‘weblog’. Ia juga dikenali sebagai jurnal atau diari online yang lebih fokus kepada berkongsi pendapat peribadi, pengalaman dan pengetahuan dalam sesuatu bidang. Blog kini mudah untuk dibina dan diuruskan kerana penyedia blog seperti wordpress dan blogspot telah dilengkapi dengan pelbagai fungsi yang mesra pengguna. Istilah ‘weblog’ buat pertama kalinya telah dicipta oleh Jorn Barger pada 17 Disember 1997. Manakala singkatannya ‘blog’ pula dicipta oleh Peter Merholz secara tidak sengaja apabila beliau telah memisahkan perkataan ‘weblog’ menjadi frasa ‘we blog’ di palang sisi blog miliknya iaitu ‘Peter.com’ pada april atau mei 1999. Ia telah diterima baik sebagai kata nama mahupun sebagai kata kerja, dalam bahasa inggeris ‘to blog’ bermaksud mengedit ‘weblog’ atau menghantar pesanan ke ‘weblog’. Pada masa ini terdapat lapan jenis blog yang digunakan iaitu ‘authority blog’, ‘social/relationship blog’, ‘journalist blog’, ‘personal blog’, ‘problogger’, ‘business blogger’, ‘hybrid blogger’ dan ‘miscellaneous blogger’.Weil (2006)- “a frequent, chronological publication of personal thoughts and web links”Wu (2005) – “in principal, a blog is not different from webpage, however, a blog can be created with the touch of mouse clicks and no experience in web authoring is needed”.
BAGAIMANA BLOG DAPAT MEMPERTINGKATKAN MINAT MURID UNTUK MENGIKUTI PEMBELAJARAN
Blog adalah revolusi kepada pemesatan penyebaran maklumat terutamanya dalam bidang pendidikan. Selari dengan pergerakan masa, blog telah banyak membantu perkembangan dalam pemikiran manusia dalam perspektif pendidikan secara global.
Pengunaan blog dalam pendidikan dapat membantu pelajar berhubung secara atas talian dengan guru atau rakan. Pelajar boleh menggunakan blog sebagai medium untuk belajar dengan cara mencari maklumat ataupun berkongsi maklumat dengan penguna blog yang lain. Pengunaan teknologi menerusi blog dapat membantu pelajar berhubung secara atas talian (on-line) dengan guru atau rakan-rakan. Pelajar boleh menggunakan blog sebagai medium untuk belajar dengan cara mencari maklumat ataupun berkongsi maklumat dengan pengguna blog yang lain. Menurut Kennedy (2003) blog kini telah menjadi dimensi baru untuk pengajar-pengajar dan pelajar-pelajar bagi membentuk satu alat penerbitan yang interaktif dan segera. Blog boleh menjadi medium di mana kerja pelajar dikutip, disunting dan ditaksir dan seterusnya diterbitkan untuk penonton atau pembaca maya. Menerusi blog, perkongsian ilmu akan berlaku di antara pelajar dengan pengguna yang lain. Hal yang demikian kerana menurut Cabrera (2002) perkongsian ilmu merupakan satu aktiviti di mana ilmu (maklumat, kemahiran-kemahiran atau kepakaran) ditukar dalam kalangan pengguna, rakan-rakan, ahli-ahli keluarga, satu komunitiatau sebuah organisasi. Penggunaan blog sebagai medium penghubung membolehkan pelajar berkongsi maklumat atau bertukar pendapat dengan pengguna yang lain tanpa sempadan atau kekangan masa (NurAzza,2009). Pengunaan blog pada masa kini banyak membantu dalam meningkatkan sistem pendidikan di Malaysia. Menurut Richardson (2006) kepentingan web blog kepada pelajar ialah pelajar boleh berkomunikasi tentang isu semasa atau maklumat yang terbaru secara terus,menyediakan portal untuk kegunaan pelajar, memudahkan pelajar melihat ulasan terhadap tugasan atau subjek yang dibincangkan. Selain itu,ruangan post forum yang disediakan juga bertujuan untuk memberikan peluang kepada pelajar membuat refleksi setiap topik yang diajar di dalam kelas, memberi komen kepada setiap maklumat terbaru,mengadakan aktiviti perbincangan tantang pelajar berinteraksi dengan pelajar lain tentang apa jua aktiviti pembelajaran dan juga salah satu cara untuk memberi pelajar ruang melibatkan diri dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Blog mendorong pelajar untuk berkongsi sesuatu maklumat dengan pelajar di sekolah-sekolah lain. Melalui blog, pelajar dapat berkongsi pengetahuan, pengalaman, perasaan, pendapat dan lain-lain dengan menggunakan tulisan , gambar mahupun maklumat berbentuk video. Blog merupakan laman untuk mencoretkan idea yang terpendam selain menjadi laman untuk berkarya. Idea dan karya yang baik boleh diiktiraf agar pelajar lebih terdorong untuk meluahkan apa yang ada dalam pemikiran mereka. Penghargaan tidak hanya berbentuk material bahkan, boleh juga berbentuk pujian serta kritikan yang membina.
Pelajar gemar menggunakan blog disebabkan faktor perkembangan teknologi, pengaruh sosial dan perkongsian maklumat. Pelajar perlu menggunakan blog dalam aktiviti pembelajaran supaya menghasilkan suasana pembelajaran yang lebih efektif dan efisyen. Khalili dan Shashoani (1994) dan Moore dan Kearsley (1996) menunjukkan bahawa penggunaan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran mampu meningkatkan hasil pembelajaran. Bower (1998) menekankan lagi bahawa pengajaran berasaskan teknologi adalah lebih interaktif dan perlu terus ditingkatkan. Penggunaan teknologi dalam bidang pendidikan menyediakan kaedah dengan memberi penekanan kepada penciptaan dan penerokaan ilmu secara aktif serta menjadikan pelajar lebih berfikiran kreatif dan inovatif. Di samping itu blog juga dapat meningkatkan minat belajar kepada para pelajar. Remaja merupakan golongan yang gemar untuk mencuba sesuatu yang baru dan lebih suka belajar di luar bilik darjah. Melalui blog, pelajar tidak mudah jemu untuk belajar dan membaca. Hal ini kerana, mereka boleh melayari internet sekiranya telah penat belajar. Konsep pembelajaran seperti ini membuatkan pelajar lebih gemar belajar walaupun diluar waktu sekolah.
Selain itu juga, kelebihan blog adalah mudah untuk digunakan dalam menghantar penulisan secara atas talian. Justeru itu, pelajar dapat mengasah bakat dalam bidang penulisan disamping dapat berkongsi maklumat dengan pengguna yang lain. Ia juga digunakan sebagai laluan teknologi bagi pelajar-pelajar yang tidak selesa menggunakan komputer. Semakin lama para pelajar didedahkan dengan pengunaan blog maka mereka mudah untuk menggunakan teknologi yang sedia ada. Pembinaan bolg juga tidak memerlukan pengetahuan yang luas tentang kod-kod aturcara seperti HTML,CSS, PHP dan sebagainya. Blog lebih senang diselenggara kerana telah tersedia fungsi kiriman mudah serta reka bentuk yang boleh di ubahsuai melalui kaedah “drag and drop”. Layout dalam blog juga adalah bersifat mesra pengguna.
Penggunaan blog juga menjadikan pelajar dapat menjimatkan masa untuk berbincang di luar waktu sekolah. Melalui blog, pelajar tidak perlu berjumpa untuk membincangkan sesuatu tugasan yang diberikan oleh guru. Selain itu, perkongsian pendapat dan sebarang masalah tentang sesuatu mata pelajaran boleh diutarakan. Pelajar tidak perlu lagi keluar dari rumah untuk mengadakan sesuatu perbincangan. Masa dan tenaga dapat dijimatkan selain memperolehi ilmu pengetahuan yang lebih banyak dan mendalam.
Blog dapat memperkenalkan teknologi terkini kepada pelajar. Blog merupakan satu kaedah pembelajaran yang baru dan harus digunakan secara meluas sebagai alat bantuan pembelajaran kepada guru selain menjimatkan masa untuk mengajar. Sebarang maklumat yang baru dan berfaedah dapat diakses secara terus melalui blog yang dibuat oleh guru. Pelajar tidak perlu lagi untuk membuat ulangkaji secara bersendirian tanpa memperolehi maklumat yang lengkap.
Disamping itu blog juga membolehkan pelajar berkomunikasi secara global. Pelajar sekolah boleh berkenalan dengan pelajar dari seluruh pelosok dunia dan dapat menambahkan ilmu pengetahuan mereka yang telah sedia ada. Selain itu mereka juga dapat mengetahui teknik belajar yang lebih berkesan melalui rakan-rakan dari Negara yang berlainan. Kebaikan ini membolehkan minda pelajar lebih terbuka dengan keadaan dunia luar dan dapat mengetahui sesuatu berita dari sumber yang betul, bukannya melalui khabar angin.
Selain daripada itu, blog juga boleh melatih pelajar menulis dalam pelbagai bahasa yang mereka sukai terutamanya Bahasa Melayu. Setiap info yang ditulis dalam blog boleh dikritik dan menjadikan pelajar yang menulis dalam blog lebih matang dari segi penulisan. Pelajar akan lebih tertarik unruk memaparkan hasil penulisan dan karya mereka kedalam blog bagi menjadi tatapan umum.
Blog juga boleh mempercepatkan proses pendidikan berasaskan kadar kebolehan pelajar. Melalui blog, pelajar tidak cepat bosan untuk belajar blog merupakan satu bentuk teknologi pembelajaran yang baru. Cara pembelajaran yang interaktifkan ini, membuatkan pelajar lebih gemar untuk belajar semasa berada di rumah dan tidak membuang masa mereka dengan membuat perkara yang tidak berfaedah.
Selain itu, blog turut mempunyai kelebihan lain seperti mengalakkan perkembangan bahasa terutamanya bahasa inggeris melalui pemaparan tulisan dalam blog yang ditulis. Ia juga membolehkan pelajar membiasakan diri dengan aplikasi komputer termasuklah seni kemahiran reka digital, mencipta blog serta kod ccs. Pengguna juga boleh mengkritik bentuk penulisan dan idea yang bercanggah di ruang komen.
Selain daripada kepentingan untuk murid, blog juga mempunyai kepentingan kepada guru iaitu pertama, guru boleh membuat sebarang pengumuman berkaitan mata pelajaran yang diajar. Guru juga boleh memberikan sesuatu tugasan berkaitan mata pelajaran melalui tulisan dalam blog sekiranya tidak dapat hadir semasa pembelajaran di sekolah. Melalui cara ini, proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan tanpa sebaramng masalah dari segi masa selain dapat meningkatkan kualiti pendidikan yang sedia ada di negara kita. Dan kedua, Blog boleh menjadi laman untuk menyebarkan sebarang maklumat berkaitan sekolah tempat mereka bertugas. Melalui blog juga, guru boleh mendapatkan teknik-teknik pengajaran yang lebih baik dan boleh dipraktikkan kepada pelajar mereka. Selain itu, guru dapat bertukar informasi dan pengetahuan dengan guru-guru lain melalui tulisan dalam blog.
Penutup:
Blog seharusnya diketengahkan sebagai satu bentuk pendidikan yang baru di Negara kita. Kepentingan blog dalam institusi pendidikan memang jelas terbukti. Pihak yang berwajib harus menjalankan peranan mereka agar mutu pendidikan di Negara kita dapat ditingkatkan. Ibu bapa haruslah sentiasa peka dalam pendidikan anak-anak mereka. Setiap kebaikan dan keburukan boleh ditentukan oleh diri sendiri. Jadi, keburukan sesuatu perkara adalah kecil berbanding kepentingan yang dibawa dalam sesuatu perkara. Secara keseluruhannya perkhidmatan Blog dan cara pengunaan dan kaedah pembelajaran yang sesuai akan memberikan hasil yang berkualiti. Oleh itu, sebagai pendidik peerlu mengambil peluang ini untuk digunakan dalam mempraktikan pengajaran dan pembelajaran secara online. Teknologi sosial boleh memperbanyakkan lagi aktiviti yang lebih menarik berbanding kaedah tradisional yang mana pelajar hanya boleh menerima sebarang maklumat tetapi tidak boleh berkongsi maklumat dengan pelajar lain.
Hai semua! Saya telah mengemaskini blog saya dengan kandungan terkini tentang Topik semasa dan Teknologi! Kunjungi blog saya di jelajahberilmu.blogspot.com untuk mendapatkan tips yang berguna! Terima kasih atas sokongan anda!
ReplyDelete